Thursday, March 17, 2011

Pelaburan Emas Skim Cepat Kaya Melibatkan Syarikat & Koperasi Ar-Rahnu.

1. Orang ramai adalah dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak membuat pelaburan dalam skim pelaburan berbentuk emas menyerupai skim cepat kaya seperti ini.

2. Syarikat XXXX (emas) memberi tawaran kepada sesiapa yang membeli emas (pelabur) iaitu:

a)Setiap 100g emas dibeli, Syarikat XXX (emas) akan tambah 2 kali ganda untuk digadaikan.
b)Syarikat XXX (emas) memberi komitmen RM300 atau 3% setiap bulan selama 6 bulan untuk 300g emas yang digadaikan melalui kontrak di antara Pelabur dengan Syarikat XXX (emas) selama 6 bulan. (Ini selaras dengan kontrak antara Pelabur dengan Koperasi - Ar-Rahnu).

3. Emas-emas yang diurus niaga di Syarikat XXX (emas) iaitu emas dibeli - 100g dan emas tambahan yang ditawarkan, iaitu 200g akan digadaikan ke Koperasi Ar-Rahnu dengan Nama Pelabur.

4. Koperasi Ar-Rahnu akan menilai emas-emas tersebut, dan akan melaksanakan proses tukaran antara emas dan Ringgit Malaysia (RM), berdasarkan penilaian harga emas yang dibuat sebelum ini.

5. Setelah proses gadaian berlaku, dan berjaya menukarkan nilai emas tersebut kepada Ringgit Malaysia (RM), wang gadaian tersebut yang sebelum ini digadai atas nama pelabur tidak dimiliki oleh pelabur, sebaliknya Syarikat XXX (emas) yang memiliki wang tersebut. Wang tersebut seterusnya digunakan untuk membiayai urusan perniagaan Syarikat XXX (emas).

6. Dengan memberi tawaran bijak 2 kali ganda emas kepada pembeli yang membeli emas dengan mereka, Syarikat XXX (emas) mampu mengaut keuntungan dalam tambahan modal mereka sebanyak 100g emas daripada pembeli/ pelabur mereka. Syarikat boleh saja terus menggadaikan 200g emas tersebut ke Koperasi Ar-Rahnu tanpa mencari pelabur. Walaubagaimanapun, dengan adanya pelabur yang membeli emas dengan mereka, Syarikat XXX (emas) dapat meningkatkan aliran modal disebabkan kesemua nilai gadaian dengan Koperasi Ar-Rahnu diperolehi oleh mereka, bukan oleh pelabur.

7. Pelabur tidak dapat menikmati nilai 300g emas tersebut, walaupun ia digadaikan sepenuhnya atas nama pelabur. Sebagai balasan, Syarikat XXX (emas) memberi RM300 (atau 3%) atas 100g emas yang pelabur bayar.

8. Selepas tamat tempoh perjanjian gadaian, iaitu 6 bulan, pihak Koperasi Ar-Rahnu akan meminta semula duit mereka yang ditukarkan dengan emas sebelum ini. Terdapat dua kemungkinan dalam urusan ini iaitu:-

a) memperbaharui perjanjian; dan
b) menamatkan perjanjian.

9. Berikut ialah analisis sekiranya memilih untuk menamatkan perjanjian:

i) Pelabur akan menebus semula emas yang dicagarkan.
Perlu diberi perhatian: Emas-emas yang diurus niaga yang digadaikan kepada Koperasi Ar-Rahnu adalah atas nama pelabur. Emas-emas yang diurus niaga ini termasuklah 200g emas tambahan yang ditawarkan kepada kepada pelabur oleh Syarikat XXX (emas).
Secara teorinya: Pelabur terpaksa membayar kepada Koperasi Ar-Rahnu atas gadaian emas yang dibuat supaya pelabur dapat menebus semula emas tersebut. Dalam kes ini, DIANDAIKAN Syarikat XXX (emas) yang akan menebus emas pelabur dengan Koperasi Ar-Rahnu untuk mendapatkan emas tersebut. Ini bermakna, Syarikat XXX (emas) akan membayar kepada Koperasi Ar-Rahnu sejumlah wang untuk menyelesaikan proses gadaian, dan Koperasi Ar-Rahnu akan memberikan emas yang pelabur gadaikan dulu kepada Syarikat XXX (emas). Kemudian, Syarikat XXX (emas) akan membuat tawaran kepada pelabur sama ada mahu menjual emas atau menyambung kontrak.
ii) Sekiranya pelabur memilih untuk menamatkan kontrak, Syarikat XXX (emas) akan membeli emas pelabur dan membayar nilai emas tersebut mengikut harga semasa setelah ditolak 2% caj brokerage.

10. Persoalannya di sini: Sekiranya Syarikat XXX (emas) mengalami kemerosotan dan tidak mampu meneruskan perniagaan, apakah risiko terhadap pelabur?
Risiko: Pelabur terpaksa membayar nilai untuk 300g emas untuk menebus emas yang digadai dengan Koperasi Ar-Rahnu, walhal, pelabur hanya membeli 100g emas. Ini kerana proses gadaian Koperasi Ar-Rahnu dibuat dengan NAMA PELABUR. Tambah lagi, pelabur tidak menikmati pun nilai 300g emas tersebut. Pelabur hanya diberi RM300 untuk setiap 100g setiap bulan selama 6 bulan sahaja.

11. Secara ringkasnya, Modus Operandi:
Syarikat XXX (emas) akan mencari pelabur baru untuk membeli emas daripada mereka sebanyak 100g, dan menggunakan duit pusingan yang dijana daripada pelabur terdahulu untuk membeli emas 200g, kemudian gadaikan emas 100g pelabur baru bersama-sama emas 200g ke Koperasi Ar-Rahnu dengan Skim Ar-Rahnu. Proses pembelian emas 200g menggunakan duit pusingan ini tidaklah mengambil masa yang panjang. Ia seperti meminjamkan sementara duit untuk membeli emas 200g. Ini kerana, duit emas 200g itu akan diperolehi semula apabila selesai proses gadaian dengan Koperasi Ar-Rahnu bagi urusan dengan pelabur baru (sebab itu ia dikatakan duit pusingan). Dengan ini, Syarikat XXX (emas) memiliki semula duit 200g emas tersebut, dan ditambah dengan duit keuntungan 100g emas daripada pelabur baru. Kesemua proses ini menggunakan nama pelabur dalam kontrak gadaian dengan Koperasi Ar-Rahnu.


Bagaimana mengenali Skim Cepat Kaya Pelaburan Emas?

1. Syarikat/ agen akan menumpukan penerangan kepada PULANGAN YANG LUMAYAN mengenai bagaimana boleh meningkatkan wang berbanding pelaburan emas.

2. Pendaftaran syarikat tidak didaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan jika berdaftar tidak menunjukkan syarikat terlibat dengan aktiviti jual beli emas.

3. Harga emas yang dijual adalah tinggi tapi pelabur berminat disebabkan pulangan lumayan yang dijanjikan.

4. Jika anda cari pelabur lain maka anda akan mendapat komisyen. Lebih ramai pelabur baru maka lebih pendapatan yang akan diperolehi.

5. Pulangan yang dijanjikan amat tinggi contoh 3% sebulan. Jika setahun 36%? Bandingkan dengan kadar institusi kewangan yang lain.

6. Untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi, emas perlu diserahkan kepada syarikat semula untuk didagangkan. Kalau begini, sebaik mungkin fikir-fikirkanlah kesan dan akibatnya.

Panduan Sebelum Menyertai Skim Pelaburan Emas

1. Semak maklumat pendaftaran syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Pastikan aktiviti syarikat adalah berkaitan aktiviti membeli dan menjual emas. Profil syarikat boleh didapatkan di laman web SSM di http://www.ssm.com.my/

2. Berapa harga emas yang dijual? Adakah mengikut harga semasa dunia atau lebih tinggi?

3. Buat pengiraan kos penyertaan. Ada syarikat yang akan kenakan kos-kos sampingan kepada pelabur. Kos-kos ini perlu diambil kira kerana ia akan mengurangkan keuntungan pelabur

4. Pastikan bila anda membeli emas, anda mendapat emas waktu itu juga!!. Ada syarikat yang tidak memberikan emas dengan alasan tiada stok lagi dan lain-lain alasan tetapi tetap berjanji memberikan pulangan kepada pelabur. Jika syarikat tersebut ada rekod buat begini, JANGAN SERTAI!

5. Jika program berkenaan memerlukan anda menyerah balik emas anda kepada syarikat untuk didagangkan, JANGAN SERTAI! Ini adalah risiko yang sangat tinggi.

6. ”Exit cost” - setelah tamat kontrak, adakah syarikat membeli balik emas anda? Berapa jumlah kos yang ditolak? Kira kos ini kerana ia akan mengurangkan keuntungan anda.

7. Cuba kira kerugian anda dalam "keadaan paling teruk” (worst case scenario).

8.Pastikan setiap pelaburan mempunyai kontrak. Jika berlaku apa-apa masalah boleh dirujuk kepada kontrak tersebut. Jika tiada kontrak sebaik-baiknya jangan sertai skim tersebut.

No comments:

Post a Comment