Thursday, March 17, 2011

Had Potongan Minima 6o%.

13 Januari 2006
Kepada semua
Koperasi / Organisasi Pelanggan
Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA)

Tuan

PEKELILING KOPERASI BILANGAN 01/2006

Per: Had Potongan Maksima 60% Daripada Gaji 

Bagi tujuan mempastikan arahan kerajaan mengenai had potogan yang maksima 60% daripada gaji dipatuhi sepenuhnya oleh pelanggan-pelanggan BPA, berikut digariskan beberapa peraturan baru yang perlu dilaksanakan:

Disertakan bersama ini contoh borang penentuan Had Kelayakan Pinjaman untuk rujukan.

1. Semua arahan potongan gaji menggunakan boran BPA 1/79 bagi maksud potongan saham, yuran, simpanan, premium insurans, pelaburan, bayaran balik pinjaman dan sebagainya perlu disertakan bersama borang Penetuan Had Kelayakan Pinjaman, salinan kad pengenalan dan salinan 2 bulan slip gaji terakhir yang disahkan oleh Ketua Bahagian Gaji Jabatan masing-masing.

2. semua arahan perubahan potongan gaji bagi maksud menambah jumlah potongan bulanan, memanjang tempoh potongan dan memasukkan kod akaun potongan baru menggunakan borang BPA 2/79 juga perlu disertakan dengan Borang Penetuan Had Kelayakan Pinjaman dan salinan 2 bulan slip gaji terakhir peminjam yang disahkan oleh Ketua Bahagian Gaji Jabatan masing-masing.

3. Borang Penentuan Had Kelayakan Pinjaman seperti yang dijujuk pada para 1 dan 2 perlu diisi dengan lengkap dan pastikan jumlah potongan gaji anggota/ahli berkenaan tidak melebihi 60% daripada gaji kasar. Perlu dijelaskan semula disini bahawa gaji kasar adalah termasuk gaji pokok dan semua elaun tidak termasuk elaun kerja lebih masa. sementara maksud jumlah potongan adalah semua jenis potongan yang tertera di dalam penyata Gaji termasuk potongan untuk tujuan simpanan.

4. Arahan maksima potongan 60% daripada gaji juga turut melibatkan potongan penjamin . Arahan memtong gaji penjamin tidak akan dilaksanakan jika penjamin dapat membuktikan bahawa gajinya telah dipotong melebihi maksima 60%

5. Arahan didalam pekeliling ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1hb 2006. Sebarang rayuan oleh pelanggan BPA tidak akan dilayani selepas ini.

Disertakan bersama ini contoh borang penentuan Had Kelayakan Pinjaman untuk rujukan.

Sekian, harap maklum

Terima kasih

Sumber : Laman Web ANGKASA

Pentingkan Kebajikan Anggota (Majalah Pelancar September 2009).

Hadiah Penghargaan Pelanggan Terbaik Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) Peringkat Negeri Kedah telah dianugerahkan kepada Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Baling Kedah Berhad.

Koperasi tersebut telah menerima sebuah LCD projektor dan sebuah komputer riba. Pengerusinya, Haji Nordin Mehat telah menerima hadiah tersebut daripada Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Haji Baharum di Persidangan ANGKASA Negeri pada tahun 2008 bertempat di Sungai Petani Inn, Sungai Petani, Kedah.

Ketika ditemu bual oleh wakil PELANCAR di pejabatnya, Pengerusi koperasi, Haji Nordin Mehat melahirkan rasa syukur dan bangga di atas hadiah yang diterima.

Beliau berpendapat, hadiah penghargaan pelanggan terbaik BPA yang diberikan kepada koperasi yang telah menggunakan perkhidmatan BPA perlu diteruskan bagi menggalakkan koperasi menggunakan perkhidmatan ini dengan sebaik mungkin dan mematuhi segala syarat perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Melalui penghargaan sebegini, ia akan meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama di antara koperasi-koperasi (pelanggan) dengan pihak ANGKASA. Katanya, satu lagi jenis pinjaman yang disediakan oleh koperasi ialah pinjaman khas, di mana pinjaman ini memerlukan cagaran iaitu geran tanah atau rumah.

Pinjaman maksimum ialah sebanyak RM50,000.00 berdasarkan kepada beberapa syarat dan tempoh bayaran balik selama 120 bulan atau 10 tahun. Antara syarat pinjaman tersebut ialah jumlah nilai hartanah hendaklah dua kali ganda daripada pinjaman. Contohnya, pinjaman RM10,000.00 maka penilaian hartanah hendaklah berjumlah RM20,000.00.

Pinjaman khas ini dikendalikan oleh Biro Pembangunan dan Tanah. Katanya, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) sentiasa mengingatkan semua kakitangan supaya menjalankan tugas dengan jujur, amanah, bertanggungjawab dan melayani pelanggan (anggota) sebaik mungkin.

Pada masa yang sama, mereka perlu menjaga hubungan baik dengan pihak ANGKASA bagi menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan dengan urusan potongan gaji.

Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Baling Kedah Berhad turut mementingkan kebajikan anggotanya. Untuk tujuan tersebut, pihak koperasi telah mewujudkan dua Kumpulan Wang Derma iaitu Kumpulan Wang Derma Kebajikan Am Biasa dan Khas.

Tabung Derma Kebajikan Am Biasa diwujudkan melalui sumbangan sebanyak RM5.00 setiap bulan daripada setiap anggota. Wang tersebut diperuntukkan untuk khairat kematian, kesihatan, kemalangan, bencana alam, keagamaan, keperluan awam dan sebagainya. Sebagai contoh, anggota yang dimasukkan ke hospital melebihi lima hari layak mendapat RM5.00 sehari dengan mengemukakan surat daripada pihak hospital.

Kumpulan Wang Derma Kebajikan Am Khas pula diwujudkan bagi membantu anggota atau suami/isteri di atas kematian suami/isteri. Bagi mengumpul dana ini, setiap anggota dikehendaki memberi sumbangan sebanyak RM10.00 ke atas satu kematian. Sebagai persediaan awal koperasi mengambil kutipan pendahuluan sebanyak RM20.00 bagi setiap anggota baru. Waris si mati perlu mengemukakan sijil kematian asal kepada pihak koperasi. Untuk meringankan bebanan waris si mati, pihak koperasi akan memberi wang pendahuluan sebanyak RM3,000.00 pada hari kematian dengan mengemukakan surat kebenaran pengebumian bagi perbelanjaan mengurus jenazah.

Haji Nordin menjelaskan, koperasi sentiasa mencari jalan untuk kebaikan semua anggota agar mereka merasa selesa, sayangkan koperasi dan sentiasa menyokong kegiatan koperasi.

Sementara itu, Setiausahanya, Encik Mohd. Termizi Haji Husim memberitahu, kini koperasi telah memiliki beberapa buah bangunan yang turut memberi pendapatan tambahan melalui sewaan bangunan tersebut. Antaranya ialah dua unit kedai/pejabat dua tingkat di Kota Baling Jaya, Pulai. Unit pertama telah dibeli pada Oktober 2004 dengan harga RM226,000 dan unit kedua dibeli pada Disember 2005 dengan harga RM258,000.00. Katanya, hasil sewaan daripada kedua-dua bangunan tersebut berjumlah RM2,800.00 sebulan. Selain itu, koperasi turut menjalankan projek lot perumahan yang terletak bersebelahan dengan Taman Kota Jaya, Pulai. Sebanyak 22 lot tanah telah berjaya dijual. Lot-lot ini diberi keutamaan kepada anggota koperasi yang berminat.

Jadi, anggota yang berminat boleh mendapatkan pinjaman daripada koperasi melalui skim pinjaman peribadi atau pinjaman khas. Koperasi sentiasa mementingkan pendidikan di kalangan anggota dan anak-anak anggota.

Sehubungan itu katanya, pihak koperasi telah mewujudkan pinjaman pendidikan dan hadiah pelajaran. Untuk melaksanakan urusan tersebut, Biro Pendidikan telah diwujudkan bagi memastikan ia berjalan lancar. Pelajar yang berhak menerima hadiah kecemerlangan hanya dikehendaki mengemukakan salinan keputusan peperiksaan sahaja.

Akhirnya, Pengerusi koperasi, Haji Nordin mengharapkan agar semua anggota koperasi terus menyokong dan bekerjasama di dalam setiap kegiatan yang dijalankan oleh koperasi.

Sekiranya koperasi mendapat lebihan pendapatan, sudah pasti nikmatnya akan turut melimpah kepada anggota koperasi.

Pelaburan Emas Skim Cepat Kaya Melibatkan Syarikat & Koperasi Ar-Rahnu.

1. Orang ramai adalah dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak membuat pelaburan dalam skim pelaburan berbentuk emas menyerupai skim cepat kaya seperti ini.

2. Syarikat XXXX (emas) memberi tawaran kepada sesiapa yang membeli emas (pelabur) iaitu:

a)Setiap 100g emas dibeli, Syarikat XXX (emas) akan tambah 2 kali ganda untuk digadaikan.
b)Syarikat XXX (emas) memberi komitmen RM300 atau 3% setiap bulan selama 6 bulan untuk 300g emas yang digadaikan melalui kontrak di antara Pelabur dengan Syarikat XXX (emas) selama 6 bulan. (Ini selaras dengan kontrak antara Pelabur dengan Koperasi - Ar-Rahnu).

3. Emas-emas yang diurus niaga di Syarikat XXX (emas) iaitu emas dibeli - 100g dan emas tambahan yang ditawarkan, iaitu 200g akan digadaikan ke Koperasi Ar-Rahnu dengan Nama Pelabur.

4. Koperasi Ar-Rahnu akan menilai emas-emas tersebut, dan akan melaksanakan proses tukaran antara emas dan Ringgit Malaysia (RM), berdasarkan penilaian harga emas yang dibuat sebelum ini.

5. Setelah proses gadaian berlaku, dan berjaya menukarkan nilai emas tersebut kepada Ringgit Malaysia (RM), wang gadaian tersebut yang sebelum ini digadai atas nama pelabur tidak dimiliki oleh pelabur, sebaliknya Syarikat XXX (emas) yang memiliki wang tersebut. Wang tersebut seterusnya digunakan untuk membiayai urusan perniagaan Syarikat XXX (emas).

6. Dengan memberi tawaran bijak 2 kali ganda emas kepada pembeli yang membeli emas dengan mereka, Syarikat XXX (emas) mampu mengaut keuntungan dalam tambahan modal mereka sebanyak 100g emas daripada pembeli/ pelabur mereka. Syarikat boleh saja terus menggadaikan 200g emas tersebut ke Koperasi Ar-Rahnu tanpa mencari pelabur. Walaubagaimanapun, dengan adanya pelabur yang membeli emas dengan mereka, Syarikat XXX (emas) dapat meningkatkan aliran modal disebabkan kesemua nilai gadaian dengan Koperasi Ar-Rahnu diperolehi oleh mereka, bukan oleh pelabur.

7. Pelabur tidak dapat menikmati nilai 300g emas tersebut, walaupun ia digadaikan sepenuhnya atas nama pelabur. Sebagai balasan, Syarikat XXX (emas) memberi RM300 (atau 3%) atas 100g emas yang pelabur bayar.

8. Selepas tamat tempoh perjanjian gadaian, iaitu 6 bulan, pihak Koperasi Ar-Rahnu akan meminta semula duit mereka yang ditukarkan dengan emas sebelum ini. Terdapat dua kemungkinan dalam urusan ini iaitu:-

a) memperbaharui perjanjian; dan
b) menamatkan perjanjian.

9. Berikut ialah analisis sekiranya memilih untuk menamatkan perjanjian:

i) Pelabur akan menebus semula emas yang dicagarkan.
Perlu diberi perhatian: Emas-emas yang diurus niaga yang digadaikan kepada Koperasi Ar-Rahnu adalah atas nama pelabur. Emas-emas yang diurus niaga ini termasuklah 200g emas tambahan yang ditawarkan kepada kepada pelabur oleh Syarikat XXX (emas).
Secara teorinya: Pelabur terpaksa membayar kepada Koperasi Ar-Rahnu atas gadaian emas yang dibuat supaya pelabur dapat menebus semula emas tersebut. Dalam kes ini, DIANDAIKAN Syarikat XXX (emas) yang akan menebus emas pelabur dengan Koperasi Ar-Rahnu untuk mendapatkan emas tersebut. Ini bermakna, Syarikat XXX (emas) akan membayar kepada Koperasi Ar-Rahnu sejumlah wang untuk menyelesaikan proses gadaian, dan Koperasi Ar-Rahnu akan memberikan emas yang pelabur gadaikan dulu kepada Syarikat XXX (emas). Kemudian, Syarikat XXX (emas) akan membuat tawaran kepada pelabur sama ada mahu menjual emas atau menyambung kontrak.
ii) Sekiranya pelabur memilih untuk menamatkan kontrak, Syarikat XXX (emas) akan membeli emas pelabur dan membayar nilai emas tersebut mengikut harga semasa setelah ditolak 2% caj brokerage.

10. Persoalannya di sini: Sekiranya Syarikat XXX (emas) mengalami kemerosotan dan tidak mampu meneruskan perniagaan, apakah risiko terhadap pelabur?
Risiko: Pelabur terpaksa membayar nilai untuk 300g emas untuk menebus emas yang digadai dengan Koperasi Ar-Rahnu, walhal, pelabur hanya membeli 100g emas. Ini kerana proses gadaian Koperasi Ar-Rahnu dibuat dengan NAMA PELABUR. Tambah lagi, pelabur tidak menikmati pun nilai 300g emas tersebut. Pelabur hanya diberi RM300 untuk setiap 100g setiap bulan selama 6 bulan sahaja.

11. Secara ringkasnya, Modus Operandi:
Syarikat XXX (emas) akan mencari pelabur baru untuk membeli emas daripada mereka sebanyak 100g, dan menggunakan duit pusingan yang dijana daripada pelabur terdahulu untuk membeli emas 200g, kemudian gadaikan emas 100g pelabur baru bersama-sama emas 200g ke Koperasi Ar-Rahnu dengan Skim Ar-Rahnu. Proses pembelian emas 200g menggunakan duit pusingan ini tidaklah mengambil masa yang panjang. Ia seperti meminjamkan sementara duit untuk membeli emas 200g. Ini kerana, duit emas 200g itu akan diperolehi semula apabila selesai proses gadaian dengan Koperasi Ar-Rahnu bagi urusan dengan pelabur baru (sebab itu ia dikatakan duit pusingan). Dengan ini, Syarikat XXX (emas) memiliki semula duit 200g emas tersebut, dan ditambah dengan duit keuntungan 100g emas daripada pelabur baru. Kesemua proses ini menggunakan nama pelabur dalam kontrak gadaian dengan Koperasi Ar-Rahnu.


Bagaimana mengenali Skim Cepat Kaya Pelaburan Emas?

1. Syarikat/ agen akan menumpukan penerangan kepada PULANGAN YANG LUMAYAN mengenai bagaimana boleh meningkatkan wang berbanding pelaburan emas.

2. Pendaftaran syarikat tidak didaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan jika berdaftar tidak menunjukkan syarikat terlibat dengan aktiviti jual beli emas.

3. Harga emas yang dijual adalah tinggi tapi pelabur berminat disebabkan pulangan lumayan yang dijanjikan.

4. Jika anda cari pelabur lain maka anda akan mendapat komisyen. Lebih ramai pelabur baru maka lebih pendapatan yang akan diperolehi.

5. Pulangan yang dijanjikan amat tinggi contoh 3% sebulan. Jika setahun 36%? Bandingkan dengan kadar institusi kewangan yang lain.

6. Untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi, emas perlu diserahkan kepada syarikat semula untuk didagangkan. Kalau begini, sebaik mungkin fikir-fikirkanlah kesan dan akibatnya.

Panduan Sebelum Menyertai Skim Pelaburan Emas

1. Semak maklumat pendaftaran syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Pastikan aktiviti syarikat adalah berkaitan aktiviti membeli dan menjual emas. Profil syarikat boleh didapatkan di laman web SSM di http://www.ssm.com.my/

2. Berapa harga emas yang dijual? Adakah mengikut harga semasa dunia atau lebih tinggi?

3. Buat pengiraan kos penyertaan. Ada syarikat yang akan kenakan kos-kos sampingan kepada pelabur. Kos-kos ini perlu diambil kira kerana ia akan mengurangkan keuntungan pelabur

4. Pastikan bila anda membeli emas, anda mendapat emas waktu itu juga!!. Ada syarikat yang tidak memberikan emas dengan alasan tiada stok lagi dan lain-lain alasan tetapi tetap berjanji memberikan pulangan kepada pelabur. Jika syarikat tersebut ada rekod buat begini, JANGAN SERTAI!

5. Jika program berkenaan memerlukan anda menyerah balik emas anda kepada syarikat untuk didagangkan, JANGAN SERTAI! Ini adalah risiko yang sangat tinggi.

6. ”Exit cost” - setelah tamat kontrak, adakah syarikat membeli balik emas anda? Berapa jumlah kos yang ditolak? Kira kos ini kerana ia akan mengurangkan keuntungan anda.

7. Cuba kira kerugian anda dalam "keadaan paling teruk” (worst case scenario).

8.Pastikan setiap pelaburan mempunyai kontrak. Jika berlaku apa-apa masalah boleh dirujuk kepada kontrak tersebut. Jika tiada kontrak sebaik-baiknya jangan sertai skim tersebut.

Skim Cepat Kaya Melibatkan Koperasi

Ciri-ciri koperasi yang menjalankan aktiviti Skim Cepat Kaya:-

*-Tidak menjalankan perniagaan 'genuine', tetapi menjanjikan 8%-12% keuntungan sebulan.

*-Dividen yang dibayar kepada pelabur menggunakan wang yang dikutip daripada pelabur-pelabur baru.

*-Perniagaan yang diceburi oleh koperasi tidak memberikan pulangan tinggi yang boleh membayar dividen pada kadar yang dijanjikan.

*-Pembayaran dividen dibuat tanpa mengetahui prestasi perniagaan disebabkan akaun tidak beraudit.

*-Koperasi ini mempunyai agen yang membuat promosi dan memujuk pelabur-pelabur baru.

*-Tindakan yang boleh diambil oleh SKM terhadap syarikat yang membantu koperasi menjalankan aktiviti Skim Cepat Kaya:-

*-SKM boleh mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit melalui Akta Koperasi 1993 dengan membuat serbuan serta mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan dengan koperasi. SKM juga telah bekerjasama dengan Bank Negara dalam usaha membanteras operasi skim ini dan mengambil tindakan di bawah akta lain seperti AMLA dan BAFIA.

Tindakan yang boleh diambil oleh SKM ke atas koperasi dan Anggota Lembaga Koperasi (ALP):-

*-SKM boleh mengambil tindakan membubar kopaerasi dan bagi ALP pula, mereka boleh dikenakan tindakan penggantungan, pemecatan, dan pembubaran Lembaga. Disamping itu, ALP yang tidak berhemah boleh didakwa di mahkamah.

Sumber : Laman Web skm

Kepada Peminjam Yang Ingin Memohon Pinjaman Koperasi

Kenyataan SKM - 06/2009

PERINGATAN UMUM SKM

Kepada Peminjam Yang Ingin Memohon Pinjaman Koperasi

SKM telah menerima banyak aduan dan rungutan dari peminjam beberapa buah koperasi kredit yang membangkitkan masalah dikenakan kadar faedah dan pelbagai caj pinjaman yang membebankan peminjam. Peminjam juga disahkan telah menerima antara 70% hingga 95% sahaja daripada jumlah pinjaman.

Hasil pemeriksaan mendapati setiap peminjam dikenakan bayaran sekurang-kurangnya sebanyak 12% daripada jumlah pinjaman kepada agen pemasaran yang menguruskan pinjaman koperasi. Bayaran agen-agen pemasaran ini adalah sangat membebankan dan menindas peminjam.

Sehubungan perkara ini, SKM ingin menasihatkan semua peminjam untuk berurusan secara terus dengan koperasi. Peminjam dinasihatkan tidak menggunakan khidmat agen-agen pemasaran yang mengenakan pelbagai caj yang boleh membebankan peminjam.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan tindakan agen-agen pemasaran yang didapati menggunakan gimmick pemasaran yang agresif dalam menguruskan pinjaman koperasi. Antara laman web agen-agen yang dikenal pasti bagi pemasaran pinjaman koperasi adalah seperti di bawah :

1.www.hotiklan.com
2.www.pakarpinjaman.webs.com
3.www.pinjaman.info
4.www.tunai4u.com
5.www.pinjaman.net.my
6.www.pakarpinjaman.webs.com
7.www.komaju2u.com
8.www.60minut.com
9.www.uruspinjaman.com
10.www.wanitamelayu.com
11.www.pinjaman2009.com
12.www.smartpinjaman.com.my
13.www.pinjaman9.com
14.www.mypinjaman2u.com
15.www.pinjaman.online.com
16.www.sarawak.koperasikerajaan.com.my

Sumber : Laman Web SKM