Thursday, March 17, 2011

Pentingkan Kebajikan Anggota (Majalah Pelancar September 2009).

Hadiah Penghargaan Pelanggan Terbaik Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) Peringkat Negeri Kedah telah dianugerahkan kepada Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Baling Kedah Berhad.

Koperasi tersebut telah menerima sebuah LCD projektor dan sebuah komputer riba. Pengerusinya, Haji Nordin Mehat telah menerima hadiah tersebut daripada Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Haji Baharum di Persidangan ANGKASA Negeri pada tahun 2008 bertempat di Sungai Petani Inn, Sungai Petani, Kedah.

Ketika ditemu bual oleh wakil PELANCAR di pejabatnya, Pengerusi koperasi, Haji Nordin Mehat melahirkan rasa syukur dan bangga di atas hadiah yang diterima.

Beliau berpendapat, hadiah penghargaan pelanggan terbaik BPA yang diberikan kepada koperasi yang telah menggunakan perkhidmatan BPA perlu diteruskan bagi menggalakkan koperasi menggunakan perkhidmatan ini dengan sebaik mungkin dan mematuhi segala syarat perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Melalui penghargaan sebegini, ia akan meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama di antara koperasi-koperasi (pelanggan) dengan pihak ANGKASA. Katanya, satu lagi jenis pinjaman yang disediakan oleh koperasi ialah pinjaman khas, di mana pinjaman ini memerlukan cagaran iaitu geran tanah atau rumah.

Pinjaman maksimum ialah sebanyak RM50,000.00 berdasarkan kepada beberapa syarat dan tempoh bayaran balik selama 120 bulan atau 10 tahun. Antara syarat pinjaman tersebut ialah jumlah nilai hartanah hendaklah dua kali ganda daripada pinjaman. Contohnya, pinjaman RM10,000.00 maka penilaian hartanah hendaklah berjumlah RM20,000.00.

Pinjaman khas ini dikendalikan oleh Biro Pembangunan dan Tanah. Katanya, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) sentiasa mengingatkan semua kakitangan supaya menjalankan tugas dengan jujur, amanah, bertanggungjawab dan melayani pelanggan (anggota) sebaik mungkin.

Pada masa yang sama, mereka perlu menjaga hubungan baik dengan pihak ANGKASA bagi menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan dengan urusan potongan gaji.

Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Baling Kedah Berhad turut mementingkan kebajikan anggotanya. Untuk tujuan tersebut, pihak koperasi telah mewujudkan dua Kumpulan Wang Derma iaitu Kumpulan Wang Derma Kebajikan Am Biasa dan Khas.

Tabung Derma Kebajikan Am Biasa diwujudkan melalui sumbangan sebanyak RM5.00 setiap bulan daripada setiap anggota. Wang tersebut diperuntukkan untuk khairat kematian, kesihatan, kemalangan, bencana alam, keagamaan, keperluan awam dan sebagainya. Sebagai contoh, anggota yang dimasukkan ke hospital melebihi lima hari layak mendapat RM5.00 sehari dengan mengemukakan surat daripada pihak hospital.

Kumpulan Wang Derma Kebajikan Am Khas pula diwujudkan bagi membantu anggota atau suami/isteri di atas kematian suami/isteri. Bagi mengumpul dana ini, setiap anggota dikehendaki memberi sumbangan sebanyak RM10.00 ke atas satu kematian. Sebagai persediaan awal koperasi mengambil kutipan pendahuluan sebanyak RM20.00 bagi setiap anggota baru. Waris si mati perlu mengemukakan sijil kematian asal kepada pihak koperasi. Untuk meringankan bebanan waris si mati, pihak koperasi akan memberi wang pendahuluan sebanyak RM3,000.00 pada hari kematian dengan mengemukakan surat kebenaran pengebumian bagi perbelanjaan mengurus jenazah.

Haji Nordin menjelaskan, koperasi sentiasa mencari jalan untuk kebaikan semua anggota agar mereka merasa selesa, sayangkan koperasi dan sentiasa menyokong kegiatan koperasi.

Sementara itu, Setiausahanya, Encik Mohd. Termizi Haji Husim memberitahu, kini koperasi telah memiliki beberapa buah bangunan yang turut memberi pendapatan tambahan melalui sewaan bangunan tersebut. Antaranya ialah dua unit kedai/pejabat dua tingkat di Kota Baling Jaya, Pulai. Unit pertama telah dibeli pada Oktober 2004 dengan harga RM226,000 dan unit kedua dibeli pada Disember 2005 dengan harga RM258,000.00. Katanya, hasil sewaan daripada kedua-dua bangunan tersebut berjumlah RM2,800.00 sebulan. Selain itu, koperasi turut menjalankan projek lot perumahan yang terletak bersebelahan dengan Taman Kota Jaya, Pulai. Sebanyak 22 lot tanah telah berjaya dijual. Lot-lot ini diberi keutamaan kepada anggota koperasi yang berminat.

Jadi, anggota yang berminat boleh mendapatkan pinjaman daripada koperasi melalui skim pinjaman peribadi atau pinjaman khas. Koperasi sentiasa mementingkan pendidikan di kalangan anggota dan anak-anak anggota.

Sehubungan itu katanya, pihak koperasi telah mewujudkan pinjaman pendidikan dan hadiah pelajaran. Untuk melaksanakan urusan tersebut, Biro Pendidikan telah diwujudkan bagi memastikan ia berjalan lancar. Pelajar yang berhak menerima hadiah kecemerlangan hanya dikehendaki mengemukakan salinan keputusan peperiksaan sahaja.

Akhirnya, Pengerusi koperasi, Haji Nordin mengharapkan agar semua anggota koperasi terus menyokong dan bekerjasama di dalam setiap kegiatan yang dijalankan oleh koperasi.

Sekiranya koperasi mendapat lebihan pendapatan, sudah pasti nikmatnya akan turut melimpah kepada anggota koperasi.

1 comment:

  1. Diskaun, Baucar dan Rebat Tunai Untuk Koperasi Anda di Rakan Kop 1KUBSB. Tawaran TERHAD!

    ReplyDelete